Butik & Bengkel

Lelaki pewaris butik busana pengantin tersepak batu lalu tersungkur di hadapan wanita pemilik spa dan bakal pemilik bengkel kereta. Akan jadi apa ya, bila dunia yang serupa tapi tak sama ini bertembung?

SATU

“Aduh!”

Hairiel menepuk dahi yang nyaris tercium aspal. Kepala lutut yang sudah menyembah bumi digosok-gosok.  Riak wajah Hairiel terpinga-pinga merenung sebiji batu sebesar penumbuk yang disadung lalu menggerutu sendiri, ‘Baru bulan lepas buat ujian penglihatan. Doktor kata mata aku Vision 20/20!

Mungkin ini cara Tuhan mengingatkan – jangan fikir apa yang di depan mata itu realiti, dan jangan sangka apa yang kita tidak nampak itu tidak ada!

“Are you alright?”

Hairiel mendongak. Empunya suara yang menegur membalas pandangan kosong Hairiel dengan sepasang kening terjungkit serentak (bukan sebelah kening saja seperti trademark Ziana Zain). Seulas bibir persis Angelina Jolie terketap separuh dan kelihatan terketar-ketar. Mata Hairiel mencerun ke arah tanda nama di dada kiri si gadis: Syiela.

“Apa yang kelakar sangat orang jatuh, Cik Syiela?” soal Hairiel dengan nada meninggi. “Hello…ada saya gelak?” pantas Syiela membalas dengan tona suara yang sama.

“Lain kali, batu ni letak jadi hiasan depan pintu spa. Bukan letak tengah laluan pejalan kaki nak kasi orang patah riuk!” tegas Hairiel sambil mengangkat tubuhnya ke posisi berdiri.

Syiela tercengang. Matanya membulst menentang renungan tajam Hairiel tanpa berkedip. Sebenarnya situasi ini pelik, kerana Syiela biasanya gagal bila sampai bab lawan mata!

“Apa tengok-tengok? Ada hutang?” sergah Hairiel, mengejutkan Syiela. Spontan Syiela tertawa sumbing.

“Saudara, inilah pertama kali seumur hidup, saya kena marah pasal batu. Langsung tak ada kena-mengena dengan hidup dan mati saya! Eh, nanti kalau mati masuk ke tanah, lama-lama jasad hancur jadi batu-batu kecil juga kan? Tapi nak salahkan saya sebab batu yang saudara sendiri langgar sebab tak pandang jalan? Tak pernah dibuat orang!” lancar dan selamba Syiela menembak Hairiel.

Kini giliran Hairiel yang tergamam.

* * *

Belek-belek. Terbalik. Tukar hala. Belek-belek lagi. ‘Arghhhh! Bila nak cantik terletak baju ni di badan aku?’ Bella merungut-rungut dalam hati.

“Sudah-sudah lah tu Nabilah. Kalau kamu berdiri saja sampai kiamat depan cermin tu, bukan bakar kalori pun. Baik kamu pegi berjalan 10,000 langkah macam saranan Kementerian Kesihatan. Ada juga hasilnya nanti.”

Bella mengeluh mendengar suara Puan Hasanah di belakangnya. “Ibu ni…bukan nak bagi semangat pada saya. Merudumkan lagi ada,” komen Bella dengan nada mendatar.

Puan Hasanah tersenyum. “Bagi semangat lah tu…semangat menghadapi realiti supaya berusaha memperbaiki kenyataan. Bukan tenggelam dalam angan-angan!” tegas berbaur manis nada wanita berusia separuh abad itu menyusun kata. Tersenyum-senyum Puan Hasanah merenung anak dara bongsunya yang berperawakan 3G (Gemuk, Gempal dan Gebu) seperti gurauan serius mantan Menteri Wanita, Keluarga dan Masyarakat Malaysia.

“Iya lah Ibu. Saya mula kurangkan makan sekarang juga! Makan malam nanti saya makan buah saja, ya?” tenang Bella menutup topik perbualan. Senyum yang melebar di bibir Puan Hasanah dan kucupan mesra yang singgah di dahi Bella, menyiram nyala tidak puas hati yang mula membara di riak wajah kedua-duanya.

“Elok lah macam tu. Dah, Bella pergi ambil Kak Syiela di Spa. Dah nak Maghrib, nanti dia tinggal sorang kat kawasan tu. Ibu tak yakin,” arah Puan Hasanah. Bella akur walaupun hatinya membebel. ‘Kakak yang dah besar panjang dirisau-risaukan. Aku yang pendek lebar langsung disergah-sergah!’

* * *

“Aku tak puas hati, aku tak puas hati!” Syeila membebel-bebel sendirian sambil menutup suis herbal steam machine.

“Apa yang tak puas hati sangat tu, Along?”

“Lailahaillallah! Kus semangat! Cuba bagi salam dulu sebelum masuk!” lantang Syeila menjerit sambil kakinya terangkat setengah inci dari lantai mendengar suara yang menegur dari belakang. Dahinya berkerut seribu menoleh ke arah Bella yang turut pucat sesaat mendengar latahan kakaknya. “Orang dah bagi salam 10 kali dah! Along yang tak dengar. Bahaya betul, sudah lah pintu depan tak dikunci!” balas Bella.

Syeila berdengus dan dahinya dipicit-picit. “Adik buat apa kat sini? Kan kakak bawa kereta hari ni?”

Bella mencebik bibir sambil mengeluarkan bunyi berdecit-decit. “Kisahnya… Ibu lupa lah tu? Ibu yang suruh Bella datang ambil kakak. Risau anak emasnya seorang diri di spa senja-senja. Nanti diculik.”

Kening Syeila terangkat lagi. Dengan nada sarkastik dia bersuara, “Maafkan patik kerana membuang masa tuan puteri. Sebagai galang ganti waktu tuan puteri, izinkan patik mempersembahkan aiskrim vanila kegemaran tuan puteri pada waktu makan malam nanti.”

Bella menjelirkan lidah sambil mengutil peha kanan Syeila. Syeila mengaduh dan melompat-lompat setempat. Mereka tertawa serentak.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s