Yang namanya kehidupan,

penuh dugaan. Penuh pancaroba. Penuh ujian.

Dan ada pengakhiran. Setiap yang hidup pasti akan mati.

Semalam, 12 Februari, Malaysia mengucapkan selamat tinggal penuh kedukaan pada dua tokoh negara yang berpengaruh besar. Seorang dalam bidang media dan ulasan sukan, seorang dalam politik dan agama Islam. Langit juga menangisi pemergian ini, apatah lagi manusia. Hujan sekejap renyai sekejap lebat sejak malam tadi hingga sekarang.

Sebenarnya, bulan Februari tahun ini banyak menyampaikan berita sedih. Berita kesihatan yang berlalu bagi beberapa orang. Ayah sahabat jatuh sakit yang serius, lama dirawat di Unit Rawatan Rapi. Sahabat seorang lagi disahkan menghidap barah darah peringkat ketiga, baru memulakan rawatan kemoterapi. Seorang lagi sahabat diuji dengan penyakit genetik yang dikesan pada anaknya. Di rumah sendiri, Tok semakin hilang semangat dan kesegaran. Mula tertekan dengan suasana dan semakin bosan dengan kesunyian. Hati tidak segar, penyakit pun mudah sekali hinggap.

Allahu. Beratnya ujian ini buat mereka. Namun, mereka kuat. Sangat kuat dan tabah. Allah Maha Tahu, maka Dia turunkan ujian ini pada mereka. Dan kita? Diuji menjadi pemerhati dan pembakar semangat mereka ini. Kerana Dia Maha Tahu, kita mampu diuji begini.

Perasaan juga menghadapi ujian.

Dua sahabat, punya sejarah silam bersama. Tiada jodoh, berpisah haluan membina hidup masing-masing. Kini, ada situasi yang menemukan mereka kembali. Perasaan berbunga semula. Semudah dahulukah menyambung apa yang terputus? Tidak. Ada hati lain yang perlu dijaga. Ada dunia lain yang perlu dikekalkan.

Aku? Masih seperti dahulu, menjadi pendengar dan pemerhati. Peranan yang sama. Pengalaman dan pandangan mata hati yang berbeza. Aku bukan lagi anak mentah yang memandang cinta daripada kaca mata taman bunga jiwa. Aku wanita matang yang sudah menempuh onak duri atas nama cinta. Kaca mata aku sekarang berpijak teguh di bumi nyata. Sukar rasanya hendak terbang ke langit tinggi seperti dahulu kala.

Ya, aku masih memahami makna dan nyala rasa cinta. Aku masih tersenyum mendengar dan membaca bahasa cinta. Bezanya, renungan aku pada kehijauan dan gilang-gemilang taman impian yang dibentangkan, tajam meneliti dan mencari duri dan api yang tersembunyi. Aku enggan terpijak duri belati atau bara api tanpa sedar lagi. Kerana aku tahu, sakitnya akan berbekas sampai mati. Cukuplah dulu-dulu, usah sengaja diulangi.

Duhai hati, tenanglah menghadapi hari. Semoga ujian di sekeliling ini, menjadi asbab merenung diri dan memperbaiki apa yang perlu, untuk kemudian hari.

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s