Memory Lane 2

Petang itu langit menangis. Teresak-esak sehingga hampir putus nafas. Sedu-sedan diterjemah menjadi petir dan kilat sabung-menyabung.

Acik sudah pulang bersama suami tersayang. Sudah tiba masa mereka meneruskan hidup di rumah sendiri selepas sehari suntuk suami Acik mencari rezeki di tapak pembinaan. Sedang Acik sudah menunaikan tanggung jawab yang diamanahkan Emak dan Bapak buat hari itu.

Aku terketar-ketar mengerekot di sebalik sofa ruang tamu yang menghadap pintu gelungsur rumah. Sesekali kepalaku menjenguk di celah langsir labuh ke arah parkir di anjung rumah. Masih kosong. Pintu pagar masih tertutup rapat.

Jeritan angin semakin lantang. Ibarat petinju kejuaraan dunia, dia mencabar lawannya sang langit bagi melepaskan tumbukan lebih padu.

Mata sang petir memancar tajam, diiring jurus sang guruh mengaum garang.

Aku bingkas berlari ke arah tangga ke tingkat atas rumah. Langkahku laju meniti setiap anak tangga berkembar-kembar. Pintu bilik kuterkam. Saat halilintar menggempur kali terakhir, suis aliran elektrik ke bumi terbingkas memadam bekalan tenaga seluruh rumah. Aku menerpa ke bawah selimut tebal yang menghampar katil. Jasad sendiri kubungkus erat-erat dari hujung rambut hingga hujung kaki. Sedang rembesan langit mulai mereda ibarat ratu air mata mengesat pipi, tubir mataku yang asalnya menakung air pula yang mula berlinang deras.

Emak, Bapak, lekaslah pulang!

Advertisements

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s